PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan masih ada kelompok kecil dalam pasukan penguatkuasaan yang cuai dan terlibat dengan amalan rasuah.
Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan masih ada antara anggota penguat kuasa yang masih meneruskan adegan lama dengan mengutip habuan, meletakkan kos tambahan dan menentukan ada hadiah besar.
“Kita tidak akan bertolak ansur dengan segala kecuaian yang cuba meroboh dan merosakkan negara ini.
“Sebulan berlalu sejak saya mengambil alih pimpinan Putrajaya, ada perubahan tapi masih ada kelompok kecil yang meneruskan adegan lama.
“Saya mohon kerjasama sepenuhnya kerana percayalah saya tidak akan bertolak ansur dengan segala kecuaian ini,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra, di sini malam ini.
Katanya, beliau memohon kerjasama kepada penjawat awam dan badan penguatkuasaan supaya lebih mengerti dan memahami, namun pada masa sama kelompok kecil itu mesti dihapuskan.
Anwar pada masa sama berharap mudah-mudahan ada keinsafan untuk mereka melakukan perubahan, jika tidak satu tindakan tegas akan diambil.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau juga tidak mahu kepincangan politik di dalam negara ini dibiarkan berlarutan dan menjadikan politik untuk memunggah kekayaan.
Menurutnya, beliau tersinggung dengan dakwaan kononnya kerajaan pada hari ini terpalit dengan isu memunggah kekayaan sedemikian.
“Sikap kita jelas, negara kita negara hukum dan pasukan penguatkuasaan diberikan tugas untuk memantau sepenuhnya termasuk aspek pembaziran dan tatacara pengurusan.
“Saya mahu juga nasihatkan rakan-rakan yang saban hari menyerang saya dan mereka ini juga adalah bekas-bekas menteri dan perdana menteri yang sebelum ini bukan sahaja memunggah ratusan juta tetapi berbilion,” katanya.
Katanya, beliau akan memastikan dana-dana yang dipunggah itu akan dikembalikan semula kepada rakyat dan ia bukan satu jumlah yang kecil.
Jelasnya lagi, ada yang menasihatkan beliau supaya ‘move on’ namun, jika ada kesan peribadi kepadanya beliau boleh maafkan dan jika ia berterusan beliau akan mengambil tindakan.
“Soal memerangi rasuah, menetapkan tata kelola baik dan memusatkan perhatian kepada rakyat bawahan bukan sesuatu yang mudah, namun saya ada pasukan yang tekad untuk melakukan perubahan ini,” katanya. – UTUSAN