Maritim Pulau Pinang lupus hasil rampasan hampir RM200,000 - Utusan Malaysia

Maritim Pulau Pinang lupus hasil rampasan hampir RM200,000

ABD. RAZAK Mohamed (tengah) memantau kerja-kerja pelupusan bot yang dirampas Maritim Malaysia atas pelbagai kesalahan di Limbongan Batu Maung, Pulau Pinang hari ini. - PIX: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang melupuskan bot nelayan asing dan tempatan serta peralatan menangkap ikan bernilai RM192,000 setelah mendapat keputusan lucut hak oleh mahkamah di Limbongan Batu Maung, di sini hari ini.

Pelupusan yang dilakukan melalui kaedah hancur musnah itu melibatkan sebanyak lima buah bot nelayan asing Indonesia; sebuah bot fiber nelayan tempatan; 492 set bubu naga dan dua unit pukat lohong hasil tangkapan yang dilakukan pada tahun 2021.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kes pelupusan lucut hak itu melibatkan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 seperti tiada permit menangkap ikan di perairan Malaysia terutama bot nelayan asing Indonesia.

Tambahnya, kes lain termasuk penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan iaitu bubu naga dan pukat lohong serta bot tempatan yang tidak memiliki nombor pendaftaran.

Tegas beliau, pelupusan secara lupus musnah itu adalah mesej jelas oleh Maritim Negeri Pulau Pinang yang tegas dalam melaksanakan undang-undang dalam memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi.

“Selain itu, ia juga menunjukkan kita tidak berkompromi dengan mana-mana pihak terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang berlaku di dalam perairan negara demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut tambah beliau, sepanjang tahun ini setakat November lalu, sebanyak 4,379 pemeriksaan dan penggeledahan dilakukan oleh pegawai dan anggota Maritim Negeri Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu jelasnya, sebanyak 76 tangkapan dilakukan melibatkan kesalahan atas pelbagai akta manakala 10 kes pengusiran dibuat melibatkan bot nelayan asing Indonesia.

Sementara itu, ditanya mengenai kekerapan pencerobohan nelayan asing di perairan negara, Abd. Razak berkata, faktor hasil laut yang banyak di perairan negara menjadi antara faktor nelayan warga asing berkenaan mengambil risiko menangkap ikan sehingga menceroboh perairan negara.

Dalam masa sama ujar beliau, pihaknya turut memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan maritim antarabangsa seperti Australian Border Force khususnya dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan, penyeludupan barang kawalan, kontraban atau dadah serta penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia.

“Kita juga mengalu-alukan orang awam menyalurkan sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut dengan segera menghubungi talian hotine Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya