PUTRAJAYA: Setelah fenomena istiqbal Musytari pada 26 September lalu, kali ini peminat astronomi di Malaysia berpeluang pula menyaksikan kejadian sama melibatkan Marikh.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi hantaran dalam laman sosial rasmi, fenomena nadir itu bakal mengakibatkan planet ini lebih terang berbanding kelazimannya.
“Semasa kejadian itu Khamis ini, permukaan Marikh yang menghadap bumi akan disinari matahari sepenuhnya dan boleh dilihat begitu terang daripada kedudukan biasa,” katanya.
Planet tersebut merupakan yang keempat dari matahari dengan saiznya adalah separuh berbanding bumi dan dapat mudah dicam kerana warna kemerahan pada permukaannya.
Lebih dikenali dengan gelaran planet merah, Marikh mempunyai dua bulan sebagai satelit semula jadi iaitu Phobos dan Deimos yang saiz cukup kecil sehingga menyerupai asteroid.
Jarak planet ini daripada matahari ialah 230 juta kilometer dengan satu pusingan orbitnya memakan masa 687 hari bumi manakala sehari di situ bersamaan 24 jam 39 minit 35 saat.
Istiqbal atau disebut oposisi ialah situasi apabila sesebuah planet menghadap bumi dalam keadaan tepat bertentangan dengan matahari yang berada segarisan di belakang bumi.
Mengulas lanjut, Mysa berkata, Marikh kebiasaannya akan mengalami fenomena unik ini dalam tempoh setiap 26 bulan dengan kali terakhirnya ialah pada 13 Oktober 2020 lalu.
“Ia akan kelihatan sepanjang malam di kawasan buruk Taurus pada jarak sejauh 1.53 unit astronomi (AU) daripada matahari atau hampir 0.55 AU daripada bumi,” jelas agensi itu.
Satu AU adalah bersamaan dengan formula 1.5 x 108 kilometer dan jika cuaca baik yang bebas sebarang pencemaran cahaya, kejadian ini boleh dilihat dengan hanya mata kasar.
Bagaimanapun ujar Mysa, selepas oposisi, Marikh masih kelihatan di langit waktu malam terutamanya di ufuk timur selepas matahari terbenam atau juga disebut sebagai maghrib.
Imej planet ini tambah agensi berkenaan, akan tampak seperti titik terang kemerahan dan tidak pun berkelip sehingga menghala ke arah barat menjelang pertengahan Ogos 2023.
Sekiranya orang awam ingin pula memerhatikan permukaan Marikh yang berwarna merah serta penutup kutub luaran warna putih, maka penggunaan teleskop adalah digalakkan.
Dalam pada itu, laman astronomi popular tempatan, Falak Online melaporkan bahawa fenomena istiqbal planet tersebut juga berlaku pada waktu bulan memasuki fasa purnama.
“Ia disusuli situasi Marikh bersetentang tepat dengan matahari pada jarak 82 juta kilometer daripada bumi dan boleh dilihat jelas mulai waktu maghrib sehingga ke subuh,” katanya.
Mereka yang terlepas menyaksikan fenomena oposisi planet berkenaan pada Khamis ini namun masih lagi berpeluang melihat kejadian ini semula pada 15 Januari 2025 kelak. – UTUSAN