Mangsa letupan tong gas stabil, namun masih ditidurkan - Utusan Malaysia

Mangsa letupan tong gas stabil, namun masih ditidurkan

SITI HAJAR HANIS Muhamad yang melecur hampir seluruh badan akibat kejadian letupan tong gas memasak di rumahnya di Taman Sena Permai, Pokok Sena, Pulau Pinang kelmarin akan menjalani pembedahan esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Bakal pengantin yang melecur hampir seluruh badan selepas terkena letupan tong gas petroleum cecair (LPG) di rumahnya di Taman Sena Permai, Pokok Sena, di sini semalam dilaporkan semakin stabil.

Adik mangsa, Muhammad Azib Muhamad, 25, bagaimanapun berkata, kakaknya, Siti Hajar Hanis Muhamad, 26, terpaksa ditidurkan susulan kecederaan yang dialaminya.

Katanya, Siti Hajar yang pada mulanya menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB) telah dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Sepatutnya kakak dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana di sana ada pakar kulit (dermatologi), namun setakat ini masih tiada katil kosong.

“Buat sementara waktu, rawatan diteruskan di HSJ dan pihak hospital akan maklumkan sekiranya ada tempat untuk kakak di HPP nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Azib berkata, keluarganya akan menunggu Siti Hajar sedar terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada pernikahan kakaknya akan diteruskan atau sebaliknya.

“Kami ada berbincang dengan tunang kakak dan sekiranya keadaan mengizinkan, mungkin boleh langsungkan akad nikah dahulu.

“Bagaimanapun, ini semua bergantung kepada tahap kesihatan kakak nanti,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut mengucapkan terima kasih kepada saudara-mara dan rakan-rakan yang bertanya khabar selepas mengetahui kejadian yang menimpa mereka sekeluarga.

“Terima kasih kepada penduduk dan jiran yang mengadakan bacaan Yassin, begitu juga dengan saudara yang sanggup datang dari Pahang dan Kuala Lumpur untuk bertanya khabar.

“Buat masa ini, saya dan isteri, Marsitah Md. Zaki, 25, tinggal di rumah ibu bapa saya di Lubuk Meriam sementara menguruskan kediaman kami yang hampir rosak sepenuhnya akibat letupan itu,” katanya.

Kejadian pada pukul 8 pagi itu berlaku semasa mangsa mahu menggoreng ikan sebelum gas memasak tersebut tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan siling dan dinding rumah teres dua tingkat berkenaan turut roboh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya