KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 537 orang daripada 160 keluarga yang ditempatkan di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dalam kenyataannya berkata, mangsa terlibat membabitkan lima daerah iaitu Lipis, Temerloh, Bera, Jerantut dan Raub.
“Di Lipis seramai 79 mangsa daripada 29 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit dan PPS Masjid Beletik.
”Di Temerloh pula, seramai 380 mangsa daripada 113 keluarga ditempatkan di PPS Seri Semantan dan di Bera seramai 25 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Buntar,” katanya kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, di Jerantut melibatkan seramai 34 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Sempadan dan PPS SK Batu Balai.
Menurutnya lagi, seramai 19 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS SK Ulu Tok di Raub. – UTUSAN