PETALING JAYA: Penyanyi, Ashira Aziz mengumumkan dia mengundurkan diri daripada dunia seni dan selesa hidup tanpa dibayangi perhatian.
Menerusi media sosialnya, Ashira juga meminta semua pihak menghormati keputusan itu dan membiarkan dia hidup bertemankan keluarga dan anaknya.
“Menuju 2023, inilah masanya. Dari 1999 hingga 2022 adalah perjalanan yang mencabar dalam hidup saya. Mana yang baik saya akan semat di lubuk hati yang paling dalam.
“Masa untuk tutup buku sekarang dan mulakan yang baru. Tolong hormat keputusan saya. Biarkan saya dengan kehidupan sendiri bersama anak dan keluarga tanpa perhatian umum.
“Saya, Ashira Aziz mengundur diri sebagai public figure. Selamat tinggal kawan-kawan,” katanya yang juga peserta Gegar Vaganza musim Ketujuh.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian segelintir peminat yang khuatir dengan keadaan Ashira sehingga membuat keputusan untuk bersara.
Namun, rata-rata peminat menghormati keputusan tersebut dan mendoakan penyanyi itu menemukan ketenangan dalam hidup.
“Bagi saya ruang, saya okay. Tidak kisah jika ada yang mahu berhenti mengikuti saya di media sosial.
“Terima kasih kepada semua peminat yang memberikan sokongan. Maafkan saya kerana tidak meneruskan perjalanan kerjaya seni,” kongsinya.