PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan luruan monsun yang sedang berlaku ketika ini akan melanda negara sehingga 27 Disember.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ramalan tersebut diperoleh berdasarkan analisis model-model cuaca.
Jelasnya, keadaan berpotensi membawa angin kencang, ombak besar serta hujan berterusan di negeri-negeri timur Semenanjung, Sabah, Sarawak dan di perairan Laut China Selatan.
“Satu sistem cuaca bertekanan rendah dijangka mula terbentuk di Laut Sulu pada 24 Disember dan dijangka bergerak menuju ke Sabah. Keadaan ini boleh meningkatkan intensiti hujan di kawasan berkenaan.
“Justeru itu, Met Malaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan yang melibatkan negeri Pahang dan Johor berkuat kuasa sehingga 23 Disember, Sarawak pula pada 23 hingga 24 Disember dan Sabah pula pada 23 hingga 26 Disember,” katanya dalam satu kenyataan.
Melalui notis amaran dikeluarkan agensi tersebut pada 3 petang, Terengganu (Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman), Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bharu) berada dalam tahap buruk.
Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu), Pahang (Jerantuk dan Maran), Johor (Segamat, Batu Pahat dan Pontian) pula berada di dalam tahap waspada.
Selain itu bermula esok Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Bentong, Sarikei, Sibu, Mukah, Miri dan Limbang akan berada dalam tahap waspada sehingga 24 Disember.
Sabah (Pendalaman, Pantai Barat, Sandakan dan Kudat pula akan berada dalam tahap waspada bermula esok sehingga 26 Disember ini.
Sementara itu, Muhammad Helmi turut menasihati masyarakat untuk mendapatkan maklumat sahih mengenai keadaan cuaca melalui saluran yang disediakan.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my, semua media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya. – UTUSAN