BATU KAWAN: Syarikat Lam Research International Sdn. Bhd. (LRI) melancarkan inisiatif tenaga solar yang berpotensi mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 2,000 tan setahun.
Pembekal global bagi peralatan dan perkhidmatan ‘fabrikasi wafer’ inovatif kepada industri semikonduktor itu turut menyasarkan matlamat melestarikan penggunaan tenaga solar menjelang 2030 sekali gus mencapai aspirasi pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Naib Presiden Korporat Pembuatannya, Mike Snell berkata, projek terbabit dimulakan sejak Mac lalu dan dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini.
Jelas beliau, secara keseluruhannya, lebih 5,700 panel solar ‘photovoltaik’ dipasang secara berperingkat yang berperanan untuk menjana tenaga daripada cahaya matahari secara langsung.
“Gabungan tenaga yang dijana daripada kemudahan panel solar yang dipasang boleh mencapai kecekapan proses penukaran tenaga cahaya kepada tenaga elektrik sebanyak 21.7 peratus sekali gus bakal menghasilkan 3,000 megawatt-jam (MWj) tenaga solar setiap tahun.
“Kami percaya usaha ini dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sekali gus melestarikan alam sekitar untuk masa depan lebih baik,” katanya.
Beliau berucap secara maya pada program pelancaran sistem kuasa solar LRI yang dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan turut dihadiri Pengarah Urusan dan Pengurus Besar LRI, Soon K. Kuek.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pihaknya menyambut baik usaha LRI yang dijangka dapat memberi impak meluas di negeri ini meliputi pelbagai aspek daripada kesan limpahan ekonomi, penyetempatan rantaian bekalan dan kemahiran tenaga kerja teknikal.
“Pelaburan LRI menerusi projek panel solar ini amat membanggakan selaras dengan misi kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan hijau di rantau ini,” katanya. – UTUSAN