SHAH ALAM: Bacaan tahap pencemaran bau mencapai sifat ton sebanyak tiga kali berturut-turut membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kembali beroperasi hari ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam satu kenyataan memberitahu, pengoperasian semula itu melibatkan proses pembersihan dan rawatan air yang dijangka akan mengambil masa kira-kira 12 jam.
“Sejurus itu, bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada para pengguna di kawasan-kawasan yang terlibat,” katanya.
Terdahulu siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati, insiden berpunca daripada tumpahan cecair daripada lori yang membawa muatan pati minyak wangi terbabit kemalangan di Kilometer 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia iaitu sekitar enam kilometer dari sempadan Selangor.
Jarak lokasi kemalangan ini ke LRA Sungai Semenyih adalah sekitar 6.4 kilometer dan ke LRA Bukit Tampoi sekitar 18 kilometer.
Oleh demikian, pencemaran bau dikesan berlaku di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir dan memaksa henti tugas di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.
Insiden berkenaan menyebabkan lebih sejuta penduduk di 472 kawasan sekitar Selangor dan Putrajaya terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan memohon maaf berikutan gangguan bekalan air menjejaskan sambutan Hari Krismas oleh penganut agama Kristian. – UTUSAN