HULU SELANGOR: Pemilik lima daripada tujuh kenderaan di lokasi tanah runtuh di tapak perkemahan Father’s Organic Farm (FoF) di Jalan Batang Kali-Genting Highlands sudah dikenal pasti pihak polis.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kesemua pemilik kenderaan yang dikenal pasti merupakan milik mangsa kejadian tanah runtuh berkenaan.
“Setakat ini kedudukan kenderaan di lokasi tujuh buah dan daripada tujuh itu lima sudah dikenal pasti.
“Dua daripadanya adalah milik mangsa hidup, dua lagi milik mangsa yang meninggal dunia dan sebuah lagi kepunyaan mangsa yang masih hilang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa hilang yang memasuki hari keempat di Jalan Batang Kali – Genting Highlands, di sini, hari ini.
Suffian turut memaklumkan ke semua 24 mayat mangsa yang berada di hospital telah diserahkan kepada semua waris mangsa semalam.
Terdahulu, operasi SAR sembilan lagi mangsa diteruskan pada pukul 8 pagi tadi melibatkan 135 anggota terdiri daripada pasukan penyelamat dan dibantu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Operasi mencari semalam menyaksikan jumlah individu yang dilaporkan hilang kekal sembilan orang dengan 24 mangsa maut sehingga SAR ditamatkan pada pukul 8.15 malam akibat hujan lebat dan kabus tebal di lokasi kejadian.
Jumaat lalu, media melaporkan tragedi tanah runtuh melibatkan tapak perkemahan FOF melibatkan 94 mangsa sekitar pukul 2.42 pagi.
Sehingga kini, 61 mangsa dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan lagi masih hilang. – UTUSAN