PUTRAJAYA: Sebanyak 2,113 kandungan disekat sendiri pihak pentadbir platform perkongsian video sosial popular, TikTok sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara tersebut didedahkan Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, semasa tujuh hari sebelum PRU15 iaitu dari 12 sehingga 18 November lalu, sebanyak 857 kandungan sudah dihalang oleh pihak operator berkenaan, TikTok Pte. Ltd.
“Sementara pada hari pengundian dalam tempoh 24 jam sahaja, sejumlah 130 kandungan dikekang manakala tujuh hari pasca PRU15, angkanya melonjak kepada 1,126,” katanya dalam sidang akhbar pertama pasca Kabinet Kementerian di sini hari ini.
Sekatan secara automatik itu ujarnya, dilaksanakan oleh syarikat tersebut yang berpusat di China kerana didapati melanggar garis panduan komuniti termasuk berbaur provokatif.
Inisiatif berkenaan dilakukan menerusi kaedah kecerdasan buatan dan lonjakan besar itu katanya berlaku kerana isu berkaitan siapa Perdana Menteri serta pembentukan Kabinet.
Pada masa sama kata Ahmad Fahmi, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyalurkan aduan kepada TikTok apabila ditemui kes tertentu.
Berdasarkan statistik agensi itu, sejumlah 202 permohonan diajukan kepada operator berkenaan dari 1 Januari sehingga 5 Disember lalu berhubung atas pelbagai isu sensitif.
Justeru kata beliau, mesyuarat mingguan Kabinet yang pertama diadakan hari ini meminta kementerian itu lebih proaktif mengekang penyebaran kandungan sedemikian termasuk bekerjasama dengan pelbagai penyedia platform media sosial bagi usaha menyekat penularan berita palsu, hasutan kebencian dan seumpamanya.
Ahmad Fahmi juga memberi amaran kepada warganet tempatan tidak mengeksploitasi hak kebebasan bersuara dengan memuat naik bahan kandungan yang bersifat jelik.
Ini termasuk sebarang perkara yang menyentuh isu 3R iaitu Raja-Raja, Agama dan Kaum demi memelihara keharmonian masyarakat dan membina negara yang lebih progresif.
Pada sidang akhbar tersebut, beliau turut mengesahkan nama rasmi untuk kementerian itu bukan lagi sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau singkatan K-Kom.
Bagaimanapun kata beliau, akronim rasmi Kementerian Komunikasi Digital belum lagi dimuktamadkan dan akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat. – UTUSAN