Lebih 20 tahun berdepan banjir kilat - Utusan Malaysia

Lebih 20 tahun berdepan banjir kilat

PENDUDUK meninjau pembentung yang kecil dan tidak cukup untuk menampung aliran air sekali gus menyebabkan berlakunya banjir kilat di Lorong 12 dan blok tiga peringkat satu Felda Bukit Goh di Kuantan, Pahang sejak lebih 20 tahun lalu. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 18 keluarga di Lorong 12 dan blok tiga peringkat satu Felda Bukit Goh di sini sudah tidak tahan apabila terpaksa berdepan masalah banjir kilat yang kerap kali berlaku sejak lebih 20 tahun lalu.

Penduduk terbabit, Rosli Arshad, 50, berkata, tahun ini sahaja, sudah tiga kali rumahnya dimasuki air banjir dan malam semalam merupakan kejadian paling teruk setakat ini.

Katanya, dia terpaksa mengambil inisiatif membina benteng dengan menggunakan lebihan simen yang diambil di rumah jiran bagi menghalang banjir masuk ke dalam rumah.

“Saya pergi ke rumah jiran untuk meminta sedikit lebihan simen untuk saya bina benteng bagi menghalang air masuk ke rumah.

“Kalau ikutkan saya tidak mahu bina benteng ini merasakan ia boleh mendatangkan bahaya kepada isi rumah yang berkemungkinan akan tersandung dan terjatuh kerana terdapat penghalang di pintu masuk.

“Tapi saya terpaksa buat juga kerana tidak mahu air masuk ke dalam rumah dan akan mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk,” katanya ketika ditemui di Felda Bukit Goh di sini.

Tambah Rosli, dia sudah berdepan banjir kilat terbabit sejak menetap di tanah rancangan itu pada 2001.

“Pada 20 tahun lalu saya sudah mula membuat aduan kepada pihak atasan bagi mengatasi masalah ini namun sehingga kini ia masih belum selesai walaupun setiap tahun aduan dibuat.

“Pernah mereka datang untuk membaiki pembentung pada 2018, namun saya lihat masalah utama bukan sahaja pembentung tapi juga perparitan yang tidak pernah ditambah sejak Felda ini dibuka pada 1970-an,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Wan Ismail Wan Ali, 65, berkata, dia sudah tidak sanggup lagi menanggung kerugian ribuan ringgit setiap kali rumah dan bengkelnya dinaiki air.

Katanya, dia kerugian sekitar RM1,500 akibat dua buah mesin basuh miliknya dan pelanggan selain sebuah motosikal di bengkelnya yang tidak sempat diselamatkan dalam kejadian banjir kilat yang melanda malam semalam.

“Kebiasaannya setiap kali banjir memang itulah yang berlaku. Saya sudah biasa dengan banjir kilat ini sejak menetap di sini pada 1970-an namun kebelakangan ini ia semakin teruk sehingga dalam setahun, tidak kurang tiga kali banjir kilat berlaku.

“Sistem perparitan dan pembentung sedia ada ini sudah tidak mampu menampung jumlah air hujan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang. Setiap kali hujan lebat, pastu banjir kilat berlaku.

“Kami minta pihak berwajib supaya mengambil langkah sewajarnya menambah baik sistem perparitan dan pembentung di tanah rancangan ini sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi sejak sekian lama ini, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya