PASIR MAS: Seorang penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan sebuah kereta mengandungi 850 kilogram (kg) minyak masak peket selepas aktiviti haramnya itu dihidu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Kelantan di Kampung Teliar, Bunut Susu di sini semalam.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, rampasan itu hasil maklumat risikan yang diperoleh pihaknya berkait aktiviti berkenaan pada pukul 7.30 malam.
Menurutnya, hasil maklumat itu anggota bertugas mengesan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Kota Bharu menghala ke Tumpat.
“Menyedari kegiatan itu berjaya dikesan, penyeludup tersebut bertindak meninggalkan kereta jenis Proton Wira Aeroback dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran di tepi jalan Kampung Teliar, Bunut Susu.
“Pemeriksaan lanjut menemukan minyak masak bersubsidi anggaran sebanyak 850kg yang dianggarkan berjumlah RM2,125,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan minyak masak tersebut mahu diseludup ke negara jiran.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN