TASEK GELUGOR: Calon melebihi had umur ditetapkan dan berlakunya perlanggaran etika pentadbiran antara punca beberapa nama calon pengerusi kariah masjid digugurkan semasa pemilihan calon jawatankuasa kariah penggal 2023 hingga 2025 di negeri ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah seperti tidak mahu bekerjasama dengan program anjuran JHEAIPP, tidak mematuhi prosedur operasi standard Covid-19, membiarkan masjid menjadi pentas politik kebencian dan menjemput ustaz-ustaz yang tiada tauliah mengajar yang sah daripada MAINPP.
Katanya, mereka yang terlibat pernah ditegur namun ada antaranya tidak mengendahkan peringatan yang dikeluarkan.
“Selain itu, masih ramai calon yang disenaraikan melebihi had umur yang ditetapkan dan tidak seiring dengan pendekatan yang kita yang mahu lakukan iaitu meremajakan jawatankuasa menerusi pemilihan calon yang lebih muda.
“Justeru, kita terpaksa tolak demi untuk mencari pelapis belia untuk mentadbir masjid,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 2,955 individu kepimpinan kariah daripada 197 masjid di Pusat Konvensyen Perda, di sini hari ini.
Kelmarin, Pas Pulau Pinang membantah tindakan MAINPP yang didakwa akan menggugurkan beberapa nama pengerusi kariah masjid yang terpilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan AJK Kariah sesi 2023-2025.
Ketua Penerangan Pas negeri, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, mereka yang terpilih itu telah melalui proses pemilihan dan menepati Kaedah 5 Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (Negeri Pulau Pinang) 1997, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993, Pindaan 2003.
Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, pemilihan jawatankuasa kariah yang terdiri daripada seorang calon Pengerusi, Timbalan Pengerusi, 11 ahli jawatankuasa (AJK) dan dua pemeriksa kira-kira berbeza berbanding proses pilihan raya.
Katanya, nama-nama calon yang disenaraikan akan diserahkan kepada Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah untuk semakan awal dan dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Masjid & Hal Ehwal Kariah (JPMHEK) untuk saringan seterusnya.
“Isu yang berbangkit ini mungkin disebabkan mereka salah faham akan peranan senarai pemilihan, mungkin mereka anggap nama yang dicalonkan akan dilantik tetapi sebenarnya tidak begitu.
“Kita sudah beri taklimat awal dan jelaskan supaya beri peluang kepada anak kariah mencalonkan nama, namun tanggungjawab memilih calon masih terletak di bawah MAINPP,” katanya.
Terdahulu, tular beberapa hantaran di Facebook dengan dakwaan tidak puas hati dengan tindakan MAINPP yang dikatakan menyalah guna kuasa atas tujuan tertentu susulan pemilihan ahli kariah dengan pengerusi yang bakal dilantik berbeza. – UTUSAN