SUNGAI PETANI: Pengguna jalan raya yang melalui Jalan Sungai Layar – Jalan Pegawai, di sini terpaksa memberhentikan kenderaan masing-masing apabila kabel elektrik berdekatan Taman Widuri terbakar lalu terputus sehingga merintangi laluan itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, penunggang motosikal yang hanya mahu dikenali sebagai Kadir berkata, dia dalam perjalanan ke Semeling pada waktu itu dan bimbang untuk melintasi kawasan terbabit.
“Ketika saya sampai, kabel itu masih terbakar dan mengeluarkan percikan api yang menyebabkan saya bimbang jika terkena renjatan apabila melaluinya.
“Maka, selepas 10 minit menunggu di bahu jalan, anggota bomba dan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilihat datang dan memotong bekalan eletrik di kawasan itu sebelum pengguna dapat melalui semula jalan itu dengan selamat,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, pengusaha sebuah rumah asuhan kanak-kanak juga mahu dikenali sebagai Teh berkata, dia mendengar bunyi letupan sebelum keluar daripada pejabat untuk melihat apa yang berlaku.
“Sebaik berada di luar saya dapati kotak fius di sebatang tiang berdekatan premis kami terbakar sebelum kabel eletrik jatuh dan merintangi jalan.
“Kabel yang jatuh itu turut mengeluarkan api menyebabkan beberapa orang pemandu kenderaan dan penunggang motosikal terutamanya tidak berani melalui jalan itu,” katanya.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Mohsin Rashid, 47, berkata, dia hairan apabila mendapati banyak kenderaan berhenti di bahu jalan ketika melalui Taman Widuri.
“Saya beranggapan mungkin berlaku kemalangan tetapi terkejut apabila dimaklumkan pengguna enggan meneruskan perjalanan kerana bimbang terkena renjatan eletrik disebabkan kabel eletrik terbakar dan merintangi jalan.
“Bagaimanapun beberapa minit kemudian keadaan kembali pulih apabila kabel itu dialihkan oleh kakitangan TNB selepas bekalan eletrik di kawasan berkenaan dipotong,” katanya. –UTUSAN