PUTRAJAYA: Akhir bulan lalu, Utusan Malaysia pernah melaporkan kisah seekor kura-kura yang dicekup setelah didapati menceroboh landasan Lapangan Terbang Limbang di Sarawak.
Bagaimanapun kali ini, seekor lagi reptilia bercengkerang itu telah pun dikesan cuba mahu menyusup masuk ke kawasan landasan sebuah terminal udara di Pahang pada minggu lepas.
Menurut hantaran oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi laman sosial rasminya, insiden nadir tersebut berlaku di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di Kuantan.
“Mana kapal terbang saya?,” ajuk pentadbir akaun itu secara berseloroh sebelum menambah kata-kata nasihat: “Baik betul dia tunggu dekat sini. Duduk baik-baik ya, jangan melintas lagi.”
MAHB melalui hantaran itu menjelaskan bahawa haiwan liar dilarang ada di landasan kerana berpotensi menjadi objek asing yang dibimbangi menyebabkan kerosakan pesawat atau FOD.
Kehadiran FOD berkenaan adalah berbahaya untuk keselamatan pesawat dan ditambah pula lapangan terbang itu juga berkongsi landasan dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Secara kebetulan, terminal awam dan pangkalan udara yang wujud sejak 1968 itu terletak hanya bersebelahan dengan Sungai Padan yang airnya mengalir terus menuju ke Sungai Kuantan.
Difahamkan kura-kura itu merupakan jenis yang disebut sebagai padi atau katup atau dirujuk Amboina box turtle kerana spesies ini mula direkodkan di Pulau Ambon, Indonesia pada 1856.
Makhluk yang berwarna coklat kehitaman ini hidup bersifat daratan dan akuatik tetapi lebih gemar tinggal di perairan cetek, sungai, kolam atau tasik dengan ada tumbuhan sebagai makanan.
Kelazimannya ujar MAHB, setiap landasan mestilah berada dalam keadaan bebas daripada unsur FOD sepanjang waktu untuk mengelak berlaku sebarang kes kecelakaan ke atas pesawat.
Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah; yang terletak 15 kilometer dari pusat bandar raya Kuantan, mengendalikan penerbangan berjadual bagi Malaysia Airlines dan Scoot dari Singapura.
Hantaran ini namun menerima reaksi positif dalam kalangan warganet yang turut memuji usaha serius pihak MAHB memastikan tahap keselamatan lapangan terbang dalam keadaan baik.
Kelazimannya, sebarang FOD seperti serpihan logam, tayar pesawat atau sisa sampah yang bertaburan di atas landasan boleh merosakkan enjin kapal terbang ketika melalui kawasan itu. – UTUSAN