LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mahu menerapkan unsur seni dan budaya sebagai identiti pelancongan bagi mempelbagaikan lagi produk yang boleh menarik kehadiran pengunjung ke pulau peranginan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, usaha pemuliharaan seni dan budaya itu akan menampilkan pulau peranginan itu dengan identiti kebudayaannya yang tersendiri.
“Kita akan memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan pelancongan budaya Langkawi seawal tahun depan dalam usaha untuk meningkatkan lagi keunikan pulau ini melalui komponen pelancongan berkenaan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut Nasaruddin, LADA sudah memulakan usaha tersebut dengan mengadakan program seperti Hari Mahsuri yang mengetengahkan unsur kebudayaan di Langkawi.
Sementara itu, beliau memaklumkan program Retreat Bersama Media 2022 yang dianjurkan LADA sebagai tanda penghargaan kepada media yang menjadi tulang belakang dalam membantu pihaknya mempromosikan Langkawi.
Beliau berkata, program selama empat hari di Johor Bahru baru-baru ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara LADA dan pihak media.
“Dengan pelan komunikasi yang lebih mantap pada tahun 2023, LADA berharap jalinan kerjasama ini dapat membantu dalam hala tuju promosi kepada pelancongan Langkawi,” ujarnya. –UTUSAN