KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharifah Amani memaklumkan, dia masih aktif berlakon, meskipun tanggungjawabnya tidak lagi sama selepas mendirikan rumah tangga.
Kata pelakon yang mesra disapa Nani itu, dia tidak pernah merancang untuk berhenti berlakon selepas bergelar isteri.
“Dua minggu selepas berkahwin, saya terus sertai penggambaran di Perak untuk filem terbaru.
“Mungkin orang melihat saya jarang berlakon drama atau filem. Itu bukan kerana saya perlahankan aktiviti lakonan, sebaliknya saya memilih skrip yang bersesuaian,” katanya.
Sharifah Amani mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan hati, Ahmed Faris Amir pada 10 September lalu.
Kata pelakon filem Sepet lagi, dia beruntung kerana dipertemukan dengan lelaki yang tidak pernah menghalang kerjaya seninya.
“Dia sayangkan saya kerana saya berdikari. Malah, dia sangat menyokong kerjaya seni saya dan tidak pernah menghalang,” tambahnya.