Kumpulan HABIB bina Masjid Habib di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Kumpulan HABIB bina Masjid Habib di Pulau Pinang

MEER SADIK Habib (kiri) menunjukkan pelan Masjid Habib kepada Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menyempurnakan majlis pecah tanah Masjid Habib, di Bandar Tanjong Pinang, Tanjong Tokong, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pengeluar dan peruncit barangan kemas terkemuka, Kumpulan HABIB mengorak langkah membangunkan sebuah masjid yang bakal menjadi pusat ibadah dan komuniti di Bandar Tanjong Pinang, Tanjong Tokong, di sini hari ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, pembinaan masjid tersebut merupakan hasrat Allahyarham bapanya, Datuk Habib Mohamed Abdul Latif yang mahu membangunkan masjid di tempat asalnya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

”Sebelum ini kami ada membina masjid di luar negara, dan ini adalah kali pertama Masjid Habib dibina di dalam negara serta di tanah kelahiran ayah saya.

”Sebelum ini memang ayah ada menyatakan hasrat untuk membina sebuah masjid di bahagian pulau di negeri ini, jadi masjid ini terbina bermula daripada impian ayah saya,” katanya selepas menghadiri majlis pecah tanah Masjid Habib itu, di sini hari ini.

Yang hadir menyempurnakan majlis pecah tanah itu ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak serta Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Menurutnya, Masjid Habib tersebut akan dibangunkan dengan anggaran kos RM25 juta dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan iaitu pada Mei 2024.

”Masjid ini bakal dilengkapi dengan ruangan untuk pelbagai program selain tempat beribadah dengan keluasan 8,615 meter persegi,” katanya.

Tambahnya, pembinaan dan hiasan masjid itu diterapkan dengan unsur-unsur seni komuniti kacukan, Jawi Peranakan di Pulau Pinang.

”Reka bentuk kubah diambil daripada potongan intan yang unik sebagai penghormatan kepada budaya pemakaian barang kemas masyarakat Jawi Peranakan.

”Harapan kami ialah untuk melihat Masjid Habib bukan sahaja sebagai pusat ibadah tetapi sebagai pusat komuniti yang menyatukan masyarakat setempat,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, masjid itu mampu menampung lebih 1,500 jemaah pada satu-satu masa dan turut dilengkapi kemudahan lain untuk kegunaan awam seperti bilik kuliah, bilik mesyuarat serta dewan serbaguna.

“Taman hijau akan turut menghiasi masjid bersama menara yang berkonsepkan tanglung akan memberikan pemandangan tenang serta menambah reka bentuk moden kepada pengunjung masjid,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya