BAGAN DATUK: Tanah perkuburan Islam Selekoh, Rungkup di sini digenangi air sejak lebih sebulan lalu kerana air yang bertakung tidak dapat mengalir keluar disebabkan longkang dan parit yang tersumbat.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, semua kubur di situ ditenggelami air yang kini bertukar kepada warna hitam akibat terlalu lama bertakung.
Keadaan itu menyedihkan waris yang mempunyai ahli keluarga mereka dikebumikan di situ.
Seorang penduduk, Ismail Harun, 63, berkata, masalah itu berlaku disebabkan musim hujan dan ini diburukkan lagi dengan sistem perparitan di sekitar tanah perkuburan itu tidak diselenggara dengan baik, menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar.
Menurutnya, longkang dan parit di kawasan itu semak ada yang dipenuhi sampah, dahan kayu, batang pisang, buah kelapa menyebabkan air tidak dapat dialirkan keluar ke Sungai Tiang.
“Saya sedih melihat keadaan kubur di tanah perkuburan ini yang ditenggelami air apatah lagi kubur ibu dan bapa di sini.
“Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku jika sistem peparitan dijaga dengan baik. Sistem saliran di sini perlu dibaik pulih kerana longkang dan parit yang ada sudah cetek dan terlalu sempit menyebabkan air tidak dapat bergerak,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan kerana adalah mustahil pihak yang berkenaan tidak menyedari perkara itu.
“Tanah perkuburan ini terletak di tepi jalan, saya rasa pihak yang berkenaan sudah tentu nampak perkara ini, sepatutnya mereka segera mengambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua kampung Selekoh, Diyamti Tahir, 71, berkata, keadaan itu menyebabkan jenazah yang baharu terpaksa dikebumikan di tanah perkuburan lain.
“Sepanjang tanah perkuburan ini digenangi air, ada berlaku kematian di kampung ini dan jenazah tidak dapat dikebumikan di Tanah Perkuburan Selekoh.
“Ini menyebabkan jenazah dikebumikan di tanah perkuburan lain di Bagan Datuk, kawasan di sana lebih tinggi dan tidak dinaiki air.
“Saya berharap pihak yang berkenaan segera mengatasi masalah banjir di tanah perkuburan Selekoh ini,” katanya. – UTUSAN