PETALING JAYA: Konsert Genius Seni berjaya menyerlahkan bakat generasi cilik yang menunjukkan minat dan cinta terhadap seni muzik tempatan terutama berunsurkan budaya serta tradisional.
Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mesran Mohd Yusop berkata, konsert selama dua jam itu menggabungkan tiga segmen iaitu Langkah Gemalai, Gerak Bertingkah dan Sentuhan Berdendang berjaya menimbulkan keterujuaan dalam kalangan penonton yang hadir.
Kita dapat lihat karya Genius Seni dalam sebuah persembahan seni versatil selain memperlihatkan prestasi sedekad pencapaian cemerlang bakat cilik sebagai tanda aras seni bermutu tinggi dan sebagai wadah pementasan bagi menghargai penglibatan peserta.
“Program anjuran Bahagian Genius, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Pesona Seni Kuala Lumpur itu menerima sambutan cukup menggalakan.
“Konsert ini sekali gus membuktikan genius seni terserlah dalam kalangan generasi muda kita dan mencerminkan bahawa bakat seni serta kehebatan muzik terus menjadi kebanggaan menerusi kecemerlangan budaya,” katanya.
Seramai 185 peserta melibatkan Genius Seni Tari, Genius Seni Koir dan Genius Seni Muzik
bergabung dalam Konsert Genius Seni dengan berkonsepkan pementasan muzikal yang digarap dengan unsur penceritaan.
Berkisar tentang pengalaman Atok yang juga seorang penggiat seni bela diri semasa muda, secara tidak langsung menimbulkan kesedaran dan minat dalam diri cucu-cucunya untuk mempelajari dengan lebih mendalam.
Tambah Mesran, pementasan digarap dengan mengabungkan ketiga-tiga elemen seni iaitu muzik, tari dan koir.
“Program Genius Seni merupakan satu program asuhan dan bimbingan bagi melatih anak-anak yang berbakat dalam bidang seni koir, muzik dan tari,” ujarnya.