BANJARMASIN: Kongres Budaya Banjar (KB) kali keenam yang berlangsung di sini, baru-baru ini menarik penyertaan ratusan peserta terdiri daripada para pemimpin komuniti Banjar dari seluruh rantau ASEAN.
Persatuan Banjar Malaysia (PBM) turut menghantar penyertaan antara yang terbesar dengan diketuai bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Dr. Azhar Yahya selain peserta dari negara tuan rumah, Singapura serta Brunei.
Pada kongres itu, peserta Malaysia turut diraikan oleh Walikota Banjarmasin, Ibnu Sina yang antara lain mahu menjadikan acara seperti itu sebagai usaha melestarikan budaya tradisi sebagai jati diri komuniti Bajar yang berada di seluh pelosok kepulauan Melayu.
Selain sebagai medan pertemuan warga keturunan Banjar dari rantau ini, KBB juga medan untuk mengukuhkan hubungan antara wilayah dan negara.
Bagi pihak Malaysia, selain kerjasama budaya, mereka turut menekankan kepentingan kerjasama ekonomi rentas rantau dan daerah supaya ia memberi manfaat bersama kepada komuniti terbabit.
Ini termasuk meneroka bidang tenaga boleh baharu (TBB) antara para pengusaha di Malaysia dengan wilayah Kalimantan Selatan, khususnya Banjarmasin.
Malah satu perbincangan awal tidak rasmi diadakan antara usahawan tenaga boleh baharu Malaysia yang diwakili oleh Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir. Guntor Tobeng dengan pihak pengurusan Universiti Banjarmasin mengenai peluang kerjasama dalam meneroka bidang ekonomi baharu itu. – UTUSAN