Komander Malbatt terima pengiktirafan kerajaan Itali - Utusan Malaysia

Komander Malbatt terima pengiktirafan kerajaan Itali

KOLONEL Megat Maz Ardi Nohuddin menunjukkan pingat yang diterima beliau dari kerajaan Itali selepas Majlis Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) Malbatt 850-9 di Kem Segenting di Port Dickson hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Buat pertama kalinya, kontinjen Batalion Malaysia (Malbatt) yang melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) diiktiraf menerusi pingat dari kerajaan Itali.

Pingat Croce Commemorativa Per La Partecipazione Alle Operaziono Di Pace itu disampaikan sendiri oleh Komander Sektor Barat UNIFIL kepada Komander Malbatt 850-9, Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad berkata, pingat yang diterima itu menjadikan Megat Maz Ardi sebagai komander pertama dari Malbatt yang mendapat pengiktirafan tersebut.

“Beliau ketika di sana telah melaksanakan program Run for Peace 2022 yang melibatkan jarak sejauh 22 kilometer dengan interaksi warga Malbatt, batalion UNIFIL dan masyarakat setempat.

“Masyarakat setempat juga menyokong malah gembira dengan acara ini, jadi ini menjadikan markah tambahan buat komander kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) Malbatt 850-9 di Kem Segenting di sini hari ini.

Sementara itu, Megat Maz Ardi berkata, dengan menganjurkan acara tersebut, pihak Malbatt 850-9 berjaya membangkitkan keyakinan masyarakat tempatan dengan kehadiran anggota UNIFIL.

“Menerusinya, kita berjaya menjaga hubungan baik antara UNIFIL dengan masyarakat setempat. Pada permulaannya, markas UNIFIL juga tidak berkeyakinan untuk Malbatt mampu melaksanakan tetapi kami menerusi kaedah diplomasi semua dapat menyertai dan ia dapat dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya