KL ungguli destinasi utama aktiviti mesyuarat dunia 

KL ungguli destinasi utama aktiviti mesyuarat dunia  

NORLIZAH Jahaya memegang plak trofi untuk Kuala Lumpur sebagai juara kategori bandar raya destinasi mesyuarat utama global di Istanbul, Turkiye. - GAMBAR IHSAN TOURISM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kuala Lumpur melakar sejarah apabila dipilih sebagai bandar raya destinasi utama di dunia untuk penganjuran aktiviti mesyuarat dan persidangan bertaraf antarabangsa.

Kejayaan tersebut dilaporkan oleh pejabat Tourism Malaysia di Istanbul, Turkiye menerusi hantaran laman sosial rasmi agensi itu diumumkan ketika acara Uzakrota Travel Awards 2022 yang berlangsung di Hotel Hilton Istanbul Bosphorus pada Selasa lalu.

Paling unik, Kuala Lumpur yang memperoleh 803 undian berjaya mengatasi bandar raya tuan rumah sendiri, Istanbul apabila sekadar berada di tangga kedua dengan 753 undian sahaja.

Pengurus Serantau Tourism Malaysia, Norlizah Jahaya menerima hadiah tersebut, manakala tempat ketiga kategori itu ialah ibu kota Britain, London yang menerima hanya 507 undian.

Penganugerahan berprestij tahunan itu diadakan bersempena Persidangan Pengembaraan Uzakrota dihadiri lebih 10,000 pelawat dengan 63 sesi melibatkan 200 peserta pembentang.

Acara ternama pelancongan global itu mula dianjurkan sejak 2010 namun pada tahun ini, Istanbul menjadi kemuncak selepas persidangan sama di Belgrade, Serbia dan Berlin, Jerman.

Sejumlah 45 kategori dipertandingkan dengan keputusan pemilihan membabitkan sebanyak 201,967 undi yang berdaftar dari seluruh dunia berbanding tahun lepas cuma 194,743 undi.

 Proses pengundian secara atas talian itu berlangsung selama 26 hari sahaja dengan dibuka pada 3 Oktober lalu sebelum ditutup tengah malam menjelang hari persidangan keesokannya.

Selain itu, Malaysia juga meraih naib juara kategori destinasi pelancongan negara utama di belakang jiran serantau, Filipina manakala tempat ketiga disandang oleh Republik Dominika.

Tidak ketinggalan ialah AirAsia apabila memenangi posisi ketiga bagi kategori penerbangan tambang rendah terbaik dunia selepas Pegasus Airlines dari Turkiye dan RyanAir dari Ireland.

Ketika Uzakrota Travel Awards 2021 yang juga diadakan di Istanbul pada 3 Disember tahun lalu, Tourism Malaysia dinobatkan juara bagi kategori lembaga pelancongan negara terbaik mengatasi Saudi Tourism Authority di tangga kedua, manakala Dominican Republic Tourism Board pula berada di kedudukan ketiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya