KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menandatangani perjanjian Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu antara pengerusi dan setiausaha agung daripada lima gabungan menandatangani perjanjian bagi menjalin kerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan.
Perjanjian itu turut ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH); Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg; dan Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Bercakap pada majlis itu, Hajiji yakin Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim akan membawa kestabilan politik di negara ini amnya dan Sabah khasnya.
“Ini adalah sesuatu yang istimewa untuk menyatu-padukan rakyat Malaysia.
“Kita di Sabah amat memerlukan suasana seumpama ini kerana ia boleh memberi suatu harapan yang begitu baik kepada Sabah terutama dalam aspek ekonomi dan pembangunan, memandangkan Sabah sebuah negeri yang agak besar.
“Inilah matlamat kita. Saya yakin Kerajaan Perpaduan akan menjadi kerajaan yang kuat dan kerajaan yang diharapkan oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini,” katanya.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Setiausaha GRS turut menandatangani perjanjian itu mewakili GRS.
GRS merupakan antara lima gabungan utama yang menyokong Kerajaan Perpaduan dan gabungan lain ialah Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan. –UTUSAN