KUANTAN: Kerajaan negeri akan berusaha mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah banjir kilat yang kerap kali berlaku sejak lebih 20 tahun di Felda Bukit Goh di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Ir. Razali Kassim berkata, tinjauannya mendapati terdapat dua tempat yang sering dilanda banjir kilat di tanah rancangan berkenaan.
“Di jalan 2/2 terdapat empat buah rumah dan lorong 11 terdapat enam buah rumah yang dikatakan sering dinaiki air banjir kilat.
“Isu ini dikatakan sudah lebih 20 tahun berlaku dan seringkali berulang. Tetapi, beberapa perkara perlu diambil perhatian iaitu sistem perparitan dan longkang sedia ada perlu dinaiktaraf.
“Kemudian sistem pembentung perlu dikaji balik. Daripada aduan penduduk, bila hujan lebat berlaku, air lambat mengalir keluar berpunca dari longkang kecil dan pembentung itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Bukit Goh di sini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan keluhan beberapa penduduk di Felda Bukit Goh yang terpaksa berhadapan masalah banjir sejak lebih 20 tahun lalu.
Difahamkan, aduan sudah pun dibuat penduduk, namun sehingga kini masalah terbabit tiada penyelesaian.
Mengulas lanjut, Razali berkata, perlu dibuat kajian semula bagi melihat kembali sistem perparitan dan pembentungan sedia ada.
“Isu ini memang perlu dikaji semula. Keluasan kawasan tadahan di sini perlu dibuat pengiraan semula meliputi faktor keluasan longkang dan pembentung sedia ada.
“Saya berharap reka bentuk sedia ada perlu dibuat kajian semula sebelum cadangan menaiktaraf dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN