Kejadian banjir yang berlakui di kesemua lapan daerah di Terengganu sejak Jumaat lalu merupakan terburuk dalam tempoh hampir 40 tahun berikutan hujan lebat berlarutan sejak Jumaat lalu.
Setakat pukul 2 petang semalam, kira-kira 40,000 mangsa dipindahkan di lebih 300 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.
Jumlah mangsa banjir itu dijangka meningkat sekiranya hujan masih berterusan dalam tempoh terdekat ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan pelbagai agensi berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi banjir pada musim tengkujuh ini.
Pada masa sama, Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu menyediakan semua kelengkapan sama ada di darat dan sungai untuk membantu mangsa banjir.
Bagaimanapun, kejadian yang berlaku di lapangan sama sekali tidak sama ketika membentangkan perancangan di meja mesyuarat.
Sejak hari pertama banjir, suasana bantuan agak kelam kabut apabila terdapat banyak mangsa yang terperangkap di rumah mereka yang dinaiki air.
Kebanyakan mangsa banjir yang tinggal jauh di pedalaman berhadapan detik sukar untuk menyelamatkan diri tanpa bantuan daripada agensi berkaitan.
Malah, terdapat pusat pemindahan banjir yang dibuka awal terpaksa ditutup kerana turut dinaiki air apabila paras air banjir meningkat.
Paling mengecewakan apabila kerajaan negeri gagal menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di beberapa PPS setelah jalan utama ke kawasan tersebut terjejas.
Kebanyakan PPS terlibat terletak di daerah Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.
Masalah tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana persiapan awal dilakukan termasuk proses penghantaran makanan ke PPS.
Dalam situasi tersebut, mangsa banjir terlibat mempersoalkan mengapa aset kerajaan seperti bot, lori dan helikopter lambat bertindak selepas jalan-jalan utama ditutup.
Selain itu, mangsa banjir juga tercari-cari pemimpin politik dan wakil rakyat mereka yang ‘menghilang’ ketika banjir.
Mereka juga meminta pemimpin-pemimpin Pas di Terengganu berhenti sementara meraikan kemenangan besar menawan lapan kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 Disember lalu, sebalik turun membantu mangsa banjir yang berada dalam kesusahan. – UTUSAN