BUKIT MERTAJAM: Hati ibu mana yang tidak berbunga keriangan apabila melihat peluang untuk anak kecilnya kembali menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain semakin menjadi kenyataan.
Itu yang dirasai Rachel Chung, 38, apabila kempen mengumpul dana perubatan sebanyak RM9 juta bagi merawat anaknya, Reese Tan Rui Xin, 17 bulan, yang mengidap penyakit genetik, Atrofi Otot Spina (SMA) sejak berusia 14 bulan kini tercapai.
“Anak saya (Reese Tan) perlu mendapatkan rawatan Zolgensma (dos suntikan untuk merawat SMA) sebelum dia mencapai umur dua tahun.
“Jika usianya sudah menjangkau dua tahun, ubat ini tidak akan mendatangkan sebarang kesan kepada anak saya,” katanya.
Sejak kempen mengumpul dana perubatan itu dilancarkan pada 13 Disember lalu, seramai 26,419 penderma telah menyumbang bagi membantu menjayakan kempen berkenaan.
Menurut Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau, misi mengumpul RM9 juta itu akhirnya berjaya ditamatkan dalam tempoh yang singkat iaitu kurang lapan hari.
Kata Sui Hau, sebaik sahaja jumlah terkumpul itu berjaya diperoleh, pihaknya memastikan proses mendapatkan Zolgensma dijalankan dengan serta-merta memandangkan mereka kini ‘bersaing’ dengan masa untuk merawat kanak-kanak berkenaan.
“Kesihatan dan nyawa kanak-kanak ini sememangnya menjadi keutamaan dalam kempen ini dan sebarang perkembangan mengenai rawatan Reese Tan akan dipantau dengan rapat oleh One Hope Charity.
“Sesiapa yang ingin mengikuti perkembangan rawatan Reese Tan juga boleh berbuat demikian dengan mengikuti laman media sosial dan sesawang One Hope Charity dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sui Hau memberitahu, selain membantu Reese Tan, kempen mengumpul dana perubatan itu juga diharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan melakukan saringan genetik.
“Jika tanggungan dan keadaan ekonomi adalah mengizinkan, adalah sebaiknya (pasangan) menjalankan saringan genetik praperkahwinan dan saringan genetik ketika bayi dalam kandungan untuk mendapatkan informasi mengenai kesihatan genetik mereka.
“Dalam hal ini juga, kami akan bekerjasama dengan pakar bagi mendapatkan informasi berkaitan termasuk mengenai penyakit dan saringan genetik selain berkongsi informasi ini dengan orang awam melalui platform media sosial One Hope Charity,” katanya – UTUSAN