Kementerian Pertahanan diarah gerakkan aset bantu operasi banjir - Utusan Malaysia

Kementerian Pertahanan diarah gerakkan aset bantu operasi banjir

AHMAD Zahid Hamidi beramah mesra dengan penduduk yang terlibat banjir di Kampung Nangka, Besut, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Pertahanan menggerakkan anggota dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu operasi banjir di tiga negeri di Pantai Timur.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, aset-aset tersebut perlu digerakkan segera untuk menampung kekurangan aset seperti lori dan bot di negeri-negeri terlibat.

Menururnya, kemudahan aset tersebut penting untuk menghantar bekalan makanan dan memindahkan mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, beliau percaya pihak ATM sentiasa dalam kesiapsiagaan untuk menggerakkan aset yang diperlukan itu.

“Saya meminta Angkatan Tentera Malaysia khususnya Menteri Pertahanan untuk memobilisasikan aset seperti truk atau lori yang lebih berat dikerahkan ke negeri Kelantan, Terengganu, Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat kawasan banjir di Kampung Nangka di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri sebelum itu mendengar taklimat mengenai banjir disampaikan Pegawai Daerah Besut, Azran Amin Mazlan.

Selain itu, Ahmad Zahid juga menyantuni penduduk terjejas banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut di sini.

Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa memberitahu, kekurangan aset berat menjadi antara punca bantuan lambat sampai ke kawasan terputus hubungan akibat banjir di negeri ini.

Ahmad Zahid menambah, pihaknya yakin semua kemudahan logistik akan diselesaikan segera.

Dalam pada itu, menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dalam menyelaraskan bantuan-bantuan lain kepada mangsa banjir.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM400 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk persediaan menghadapi banjir.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri akan mengumumkan peruntukan tambahan kepada NADMA memandangkan kejadian banjir tiga kali ganda lebih besar daripada jangkaan awal,” ujarnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN