Kembara 2,000 kilometer secara solo dengan motor klasik - Utusan Malaysia

Kembara 2,000 kilometer secara solo dengan motor klasik

ADENAN Md. Isa (tengah) pada majlis pelepasan Ride Solo Motor Klasik Jelajah Semenanjung Malaysia yang akan dilakukan oleh Hishamuddin Md. Rashid (dua dari kanan) di Bukit Minyak, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang lelaki dari Taiping, Perak teruja untuk memulakan cabaran mengelilingi 12 buah negeri di Semenanjung Malaysia bersama motosikal klasik miliknya melibatkan perjalanan sejauh 2,000 kilometer, hari ini.

Hishamuddin Md. Rashid, 52 atau lebih dikenali sebagai ‘Kojeq’ berkata, misi kembara solo itu bermula di Syarikat Koyoko Sdn. Bhd. di Bukit Minyak, dekat sini dan berakhir di Dataran Warisan, Perak yang mana dia merupakan duta kepada syarikat pengeluar bateri motosikal itu sejak 2017.

Menurut Hishamuddin, misi itu merupakan kembara solo keduanya dengan menaiki motosikal klasik keluaran tahun 1974 jenis Honda S90 dan dijangka berakhir pada 8 Disember di Dataran Warisan, Perak.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata, dia juga sudah siap sedia menempuh cabaran termasuk keadaan cuaca, faktor kesihatan serta keadaan motosikal sepanjang melakukan jelajah selama lapan hari itu.

“Sebelum memulakan jelajah saya melakukan persediaan dari segi meningkatkan tahap kecergasan diri dengan melakukan aktiviti berjoging selain menambah baik motosikal supaya mampu berfungsi dengan lebih lancar sepanjang kembara nanti,” katanya.

Hishamuddin ditemui pemberita pada majlis pelepasan Ride Solo Motor Klasik Jelajah Semenanjung Malaysia yang disempurnakan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Adenan Md. Isa di sini hari ini.

Tambahnya, antara misi lain dalam jelajah tersebut adalah untuk menyebarkan mengenai kempen keselamatan jalan raya kepada masyarakat lebih-lebih lagi kepada golongan belia.

Sementara itu, Adenan berkata, jelajah motosikal secara solo tersebut diharap dapat mendidik masyarakat mengenai kepentingan menunggang motosikal dengan mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Jelas beliau, peranan Hishamuddin sebagai duta kepada kepada syarikat pengeluar bateri motosikal juga diharap dapat dijadikan contoh kepada masyarakat supaya mematuhi undang-undang jalan raya serta tidak melakukan pengubahsuaian motosikal untuk tujuan perlumbaan.

“Kita juga berharap kempen seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang antaranya menerusi kerjasama dengan Unit Keselamatan Jalan Raya untuk menjadi duta mahupun rakan kongsi dalam membantu mengurangkan kadar kematian dalam kalangan penunggang motosikal akibat kemalangan jalan raya,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya