TUMPAT: Bapa kepada tiga beradik perempuan yang maut terkena renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak di sini semalam masih belum membuat sebarang keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung kes itu.
Mohd. Nadzir Mohamed, 67, berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, kejadian yang meragut nyawa tiga anaknya, Nurul Syazwani, 33, Sakinah, 29, Noorfathiah, 27 itu berpunca daripada kebocoran pendawaian elektrik TNB.
Menurutnya, jika dilihat daripada punca itu, ia merupakan kecuaian pihak TNB dalam menguruskan perkhidmatan.
“Bagaimanapun, kami sekeluarga akan berbincang terlebih dahulu. Setakat ini, saya tidak boleh memberi jawapan sama ada akan mengambil tindakan (saman) atau tidak.
“Saya dan keluarga masih terkejut dengan kejadian yang berlaku dalam sekelip mata. Beri saya masa untuk berbincang dengan anak-anak dan keluarga terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bendang Surau, Morak di sini hari ini selepas menerima kunjungan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Muhamad Zaki turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang juga merupakan mangsa banjir.
Sementara itu, ibu kepada tiga beradik itu, Zainun Sulaiman, 62, berkata, dia tetap reda dengan ketentuan ilahi meskipun kehilangan tiga orang anak dalam masa serentak
“Sakinah mengadu sakit perut akibat cirit-birit dan dada pagi semalam. Dia ada memaklumkan kepada saya bahawa najisnya hitam akibat kesan ubat yang dimakannya dan mungkin akan mati.
“Saya menemaninya ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan. Pada waktu tengah hari, saya terkejut mendengar bunyi bising di hadapan rumah sebelum melihat mayat ketiga-tiga mereka terbujur kaku tidak jauh antara satu sama lain,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, tiga beradik perempuan maut akibat terkena renjatan elektrik selepas seorang daripada mereka dikatakan memegang sebatang tiang di rumah jiran semalam. – UTUSAN