KUALA TERENGGANU: Kelemahan sistem perparitan dan saliran di negeri ini merupakan antara punca berlaku kejadian banjir besar di Terengganu, selain faktor hujan lebat ekstrem, baru-baru ini.
Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Hafizan Juahir berkata, sistem perparitan dan saliran sedia ada tidak didapati mengikut spesifikasi yang sepatutnya bagi pembangunan di sesuatu kawasan perumahan.

Menurutnya, sistem perparitan ketika ini tidak membentuk satu rangkaian sempurna antara satu sama lain yang boleh membawa aliran air keluar ke sungai utama dan seterusnya ke laut.
“Sistem parit dan longkang yang dibina hanya di sekeliling rumah atau kawasan perumahan sahaja dan ia tidak bersambung dengan parit besar yang akan membawa air memasuki sistem sungai.
“Keadaan ini berlaku akibat daripada pembangunan yang tidak terancang. Projek perumahan di atas tanah persendirian contohnya, dibangunkan tanpa mematuhi spesifikasi sistem perparitan yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Banjir buruk di Terengganu baru-baru ini berlaku serentak di kesemua lapan daerah dengan kemuncaknya lebih 40,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Mengulas lanjut, beliau berkata, analisis daripada corak hujan yang diperoleh daripada laman web World Weather Online, (worldweatheronline.com) menunjukkan jumlah jatuhan hujan yang diterima di seluruh negeri Terengganu telah menunjukkan trend menurun yang signifikan bagi tempoh 13 tahun (Januari 2010 hingga Disember 2022).- UTUSAN