KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat meneruskan projek tebatan banjir yang telah diluluskan demi kepentingan rakyat yang berdepan dengan musibah berkenaan setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, mengikut pemakluman sebelum ini, sebanyak RM15 bilion melibatkan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2 dan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3 diluluskan.
“Mengikut apa yang dimaklumkan, projek berkenaan tidak disebut sebagai diberhentikan atau ditarik balik. Cuma peruntukan RM7 bilion itu ditarik balik dari segi kontraktor yang dikenal pasti melalui kaedah rundingan terus.
“Seperti kita sedia maklum, pada setiap tahun Rantau Panjang dan Sungai Golok mengalami banjir besar. Jadi kita minta kerajaan Persekutuan mempertimbang untuk meneruskan projek tebatan banjir ini demi kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok itu menjelaskan, permohonan projek itu telah dibuat sejak bertahun-tahun lamanya namun ketika baru hendak dimulakan ,tiba-tiba ia dibuat kajian semula atau ditamatkan.
Katanya, sekiranya projek tebatan banjir itu dihentikan, masalah banjir terutama di Rantau Panjang tidak dapat diselesaikan dan kerajaan negeri menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk menentukan kaedah pelaksanaannya.
“Di pihak kerajaan negeri kita tidak kisah siapa dapat projek tersebut atau kontraktor mana dilantik. Yang penting projek ini perlu diteruskan demi manfaat rakyat di negeri ini.
“Proses tender tidak melibatkan kerajaan negeri kerana diuruskan oleh kerajaan Persekutuan sama ada tender terbuka, runding terus atau tender terpilih. Itu kita serah kepada kerajaan Persekutuan,” ujarnya.
Azami berkata, perkara itu turut dibincangkan secara tidak rasmi pada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri bagi mencari kaedah terbaik bagi menangani masalah berkaitan.
“Kemungkinan kita akan minta pegawai kerajaan negeri mengadakan pertemuan dan perbincangan awal dengan pegawai di peringkat kementerian. Selepas itu saya sendiri akan bertemu Menteri Alam Sekitar dan Air seperti dilakukan sebelum ini.
“Kita mahu kekalkan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Pusat demi kepentingan rakyat walaupun kerajaan telah berubah. Kita akan aturkan pertemuan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN