PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Paris menasihatkan rakyat negara ini berada di sekitar ibu kota Perancis itu agar lebih berwaspada susulan insiden buruk yang meletus.
Hantaran mengenai nasihat perjalanan tersebut turut dihebahkan menerusi laman sosial rasmi pejabat misi diplomatik berkenaan dalam bahasa Melayu dan Inggeris awal hari ini.
“Sehubungan kejadian berlaku di Paris, warga Malaysia yang berada di sini dinasihatkan supaya berhati-hati. Sila elakkan berada di kawasan demonstrasi dan rusuhan,” katanya.
Dianggarkan terdapat sejumlah lebih 1,000 rakyat Malaysia yang menetap di seluruh Perancis sama ada bekerja atau belajar di pelbagai pusat pengajian tinggi di negara Eropah itu.
Kelmarin, seorang lelaki bersenjata pelampau kulit putih warga tempatan berusia 69 tahun mengamuk dengan melepaskan tembakan rambang di dua lokasi berbeza di tengah Paris.
Suspek merupakan pesara pemandu kereta api milik kerajaan dan hanya dikenali sebagai William berjaya membunuh tiga individu selain mencederakan tiga orang awam lain.
Dia yang mempunyai sejarah keganasan perkauman dan kebencian kepada pendatang itu bagaimanapun dibebaskan daripada tahanan polis kerana dianggap ada masalah mental.
Susulan itu, penduduk Kurdish melancarkan tunjuk perasaan ganas semalam dekat luar pusat kebudayaan Ahmet-Kaya yang diserang suspek serta bertempur dengan pihak polis.
Pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi melindungi Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin yang meninjau lokasi insiden berdarah tersebut.
Situasi tegang itu menyaksikan pihak polis memperketatkan kawalan di kesemua premis ada kaitan etnik Kurdish dan juga kepentingan Turkiye di sekitar Paris menjelang Krismas.
Mengulas lanjut, rakyat negara ini yang memerlukan bantuan konsular di Perancis boleh menghubungi talian kecemasan pejabat kedutaan besar itu menerusi +336 3244 6571.
Misi diplomatik itu yang terletak di No.2, Bis Rue Benouville turut boleh dihubungi melalui e-mel rasmi [email protected] atau [email protected] bagi urusan konsular. – UTUSAN