PETALING JAYA: Penang Golf Resort (PGR) menganjurkan Kejohanan Kelab Ke-19 yang berlangsung pada 17 dan 18 Disember selepas dua tahun tidak dapat dianjurkan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19.
Ahli-ahli kelab yang tidak terlibat dalam aksi kompetitif sejak dua tahun lalu tampil dengan penuh semangat untuk menyertai kejohanan kali ini yang melibatkan dua kategori iaitu Terbuka Lelaki dan Terbuka Senior (60 tahun ke atas).
Bagi mengekalkan status berprestij kejohanan, had handikap 18 dan ke bawah diletakkan di bawah kategori Terbuka Lelaki manakala, handicap 24 dan ke bawah untuk kategori Terbuka Senior.
Dalam kejohanan itu, Muhammad Syafiq Hane’f muncul juara kategori Terbuka Lelaki sekali gus membolehkan dia dipakaikan jaket hijau oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Nor Sabu.
Muhammad Syafiq mendedikasikan kemenangan itu kepada bapanya yang turut menyertai kejohanan berkenaan dalam kategori Terbuka Senior.
Sementara itu, kategori Terbuka Senior pula diungguli Abd. Jalil Jaafar dan dia menganggap cabaran dalam ketegori yang dianjurkan buat kali pertama itu sangat mencabar dengan kejohanan berlangsung dalam keadaan padang basah.
Dalam pada itu, kategori Nett bagi Terbuka Lelaki dimenangi oleh Jasni Elias manakala Nett bagi Terbuka Senior dimenangi Mansor Din. – UTUSAN