ALOR SETAR: Kerajaan negeri belum mempunyai sebarang cadangan untuk melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan ke atas Terusan Wan Mat Saman yang sudah menjangkau usia 137 tahun setakat ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, usaha memulihara terusan itu juga sukar dilakukan ketika ini kerana berdepan kekangan kewangan.
“Belum ada (cadangan untuk memulihara). Kekangan duitlah. Terusan itu sudah berpuluh-puluh tahun, sudah macam itu (kotor, terbiar) bukan baru jadi hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang cadangan pihak tertentu bahawa terusan yang sangat bersejarah itu wajar dipulihara kerana ia merupakan khazanah tinggalan tinggi nilainya.
Akhbar ini semalam menyiarkan tentang realiti keadaan sebenar terusan cetusan idea Perdana Menteri Kedah ketika itu, Datuk Wan Muhammad Saman Wan Ismail pada 1885 yang kini bukan sahaja kelihatan terbiar malah kotor dan busuk.
Paling menyedihkan adalah sikap sesetengah penduduk yang menjadikan terusan sepanjang 36 kilometer itu seperti tong sampah.
Sementara itu, ketika ditanya tentang peruntukan untuk melaksanakan pemuliharan tersebut, Muhammad Sanusi memberitahu, beliau tidak mempunyai maklumat memandangkan ia di bawah selenggaraan agensi terlibat seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Bagaimanapun di sebalik kekangan itu, pihaknya menyeru agar orang ramai saling bantu-membantu dalam memulihara terusan tersebut termasuk memastikan tahap kebersihannya yang sentiasa terjaga.
“Kena pakat-pakat (bersama-sama) jaga dan bertanggungjawab. Jangan buat (terusan) tong sampah,” katanya. – UTUSAN