PETALING JAYA: Kebijaksanaan dan kualiti kepemimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi harus dihargai dan diraikan oleh UMNO memandangkan negara sedang melalui fasa pemulihan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO juga perlu dikekalkan dan harus diberi kepercayaan untuk penggal berikutnya.
Hal ini bagi menjayakan gandingan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kabinet di dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO bertuah walaupun kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun berjaya berada dalam kerajaan dengan diberi kepercayaan memimpin beberapa kementerian penting.
“Kerjasama dan sokongan UMNO kepada Perdana Menteri adalah sebuah testimoni kematangan politik dan keutamaan yang dicurah pada tempatnya.
“Gandingan dan semangat sepasukan ini bakal melahirkan dasar dan tatakelola yang baik serta program reformasi yang akan mengembalikan keyakinan pelabur dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN