SHAH ALAM: Kawasan kondominium mewah, Highland Towers yang pernah menggegarkan negara pada 1993 masih dianggap tidak sesuai untuk sebarang pembinaan berikutan masalah kestabilan tanah.
Malah, ketika ini juga sebarang pelaburan hendak dibuat di kawasan tersebut disifatkan tidak sesuai kerana bakal menelan belanja yang tinggi untuk meruntuh dua blok bangunan serta menyelenggara struktur tanah dan cerun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, tiada jaminan keselamatan dapat dipastikan terutama untuk jangka masa panjang jika pembinaan dilakukan di atas tapak pangsapuri itu.
“Jaminannya belum pasti, sebab kita akan belanja banyak sangat untuk betulkan kestabilan. Tetapi jangka hayat pun tak tahu juga sebab keadaan pergerakan air bawah tanah adalah satu yang sangat sukar dijangkakan.
“Walau bagaimanapun, dari semasa ke semasa kita semak kawasan berkenaan. Setakat ini pihak MPAJ pun tak ada menghubungi kita untuk mendapatkan pandangan dan sebagainya,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai perancangan untuk membangunkan kawasan berkenaan berikutan masalah aliran air bawah tanah.
Ia jelasnya, tidak hanya tertumpu kepada lingkungan Highland Towers yang mana kos perobohan dua blok boleh mencecah jutaan ringgit.
“Hendak stabilkan tanah bukan mudah, kawasan itu sangat luas dan isu kestabilan tanah itu bukan tertumpu di situ (Highland Towers) sahaja, luas. Kos kerja-kerja penstabilan tanah itu sangat tinggi, jadi tidak viable.
“Kedua, jaminan (keselamatan) untuk jangka panjang masih belum dapat kita buat keputusan wajar sebab kebimbangannya adalah untuk jangka tersebut. Bukan setakat roboh, nanti kawasan itu nanti perlu diperkemas (sisa binaan). Jadi banyak isu,” jelasnya.
Bagaimanapun tambah Izham, Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan dan Pengurusan Cerun yang dipengerusikannya sentiasa memantau struktur tanah di sana dan sehingga kini belum menerima sebarang cadangan pembinaan yang bersesuaian.
Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.
Berikutan itu, penghuni dua blok lain dipindahkan dan sejak itu bangunan berkenaan terbiar dan ada yang mendakwa ia menjadi sarang penagih dadah. – UTUSAN