ALOR SETAR: Sebuah kapal layar yang hanyut akibat terputus rantai sauh ketika berlabuh di Langkawi ditemukan selamat bersama nakhoda dan krunya di perairan sempadan Malaysia-Thailand.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan daripada Pusat Operasi Mawila 3 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengenai insiden itu kira-kira 8 pagi ini.
Tambahnya, MRSC Langkawi mengaktifkan Operasi Carilamat pada pukul 10 pagi untuk mencari dan memberi bantuan sewajarnya.
“Dalam kejadian itu, kapal layar Puteri Mahsuri yang lama bersauh di perairan Langkawi mengaktifkan sistem isyarat kecemasan dan isyarat diterima oleh Pusat Operasi Mawila 3 TUDM.
“KD Lekiu dalam perintah operasi mengesan kapal layar tersebut dan memberi bantuan awal kira-kira pukul 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, kapal layar bersama empat kru warga Myanmar termasuk nakhoda berada di atas kapal layar tersebut hanyut sejauh kira-kira 60 batu nautika ke arah sempadan Malaysia-Thailand.
“Maritim Malaysia mengingatkan semua komuniti maritim supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca buruk seterusnya mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).
“Orang awam juga diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 supaya tindakan awal dan pantas dapat diambil,” katanya. –UTUSAN