KEMAMAN : Kegembiraan sebuah keluarga berkelah di Pantai Penunjuk, Kijal, di sini bertukar tragedi apabila hampir kehilangan salah seorang ahli keluarga mereka yang lemas ketika mandi di pantai itu, petang tadi.
Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu berjaya diselamatkan ahli keluarga dan pengunjung di pantai tersebut yang terlihat kanak-kanak itu melambai dan meminta tolong.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Sabari Taib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 5.44 petang.
“Difahamkan, keluarga yang berasal dari Bandar Seri Bandi, Kijal datang ke pantai ini untuk berkelah.
“Kanak-kanak itu yang mandi bersama beberapa ahli keluarga lain lemas dipukul ombak.
“Bagaimanapun, kanak-kanak itu dapat diselamatkan ahli keluarga dan orang ramai yang berkunjung ke pantai itu,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Sabari berkata, keluarga mangsa telah membawa kanak-kanak itu untuk menerima rawatan di Hospital Kemaman dekat sini. – UTUSAN