KUBANG PASU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terperangkap dalam kereta yang terjatuh ke dalam Sungai Korok di Jitra, petang ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.23 petang.
“Maklumat awal diterima menyatakan kenderaan tersebut telah terbabas dan jatuh ke sungai di Jalan Sungai Korok, Jitra.
“Ibu dan bapa mangsa berjaya menyelamatkan diri namun kanak-kanak terbabit dipercayai terperangkap dalam kenderaan itu,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya ketika ini pihak bomba sedang membuat pencarian permukaan di lokasi kejadian melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) selain bantuan kren yang turut berada di lokasi.
“Seramai kira-kira 10 pegawai dan anggota sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat ketika ini,” katanya. –UTUSAN