KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof membentangkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, usul tersebut tidak perlu dibentangkan kerana telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau Agong dah absah, kenapa nak bawa ke sini lagi? Jadilah Perdana Menteri,” katanya.
Namun, Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) membidas kembali dengan menjelaskan Perdana Menteri kali ini berani, tidak seperti sebelum ini.
Kemudian, Shahidan berkata “Kalau berani, bangunlah,” namun Mohd. Sany tidak boleh bangun kerana mengalami kecederaan.
“Saya tidak boleh bangun,” katanya ringkas.
Namun Shahidan membalas lagi: “Baru keluar dari hospital, memang macam itulah.”
Hulu Langat lantas bangun dan terus mengkritik: “Soal sakit jangan dibuat main di dalam Dewan.”
Keadaan itu kemudiannya reda apabila Johari memainkan peranan dengan memberi penjelasan terdapat 12 pembahas yang akan membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.
Usul itu kemudiannya diteruskan dengan pembahas pertama daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Terdahulu, Fadilah membentangkan usul untuk semua ahli Parlimen menyokong kepemimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri dengan mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong mewujudkan Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN