Kakitangan tak cukup punca hospital sesak - Utusan Malaysia

Kakitangan tak cukup punca hospital sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah kakita­ngan Kementerian Kesihatan yang tidak berubah sejak 10 tahun lalu merupakan antara penyebab mengapa wujudnya isu pesakit terpaksa menunggu lama terutamanya di jabatan kecemasan hospital.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, berdasarkan buku laporan belanjawan negara terdapat kira-kira 280,000 kakitangan kementerian secara keseluruhan.

Jelasnya, jumlah berkenaan tidak berubah banyak dalam dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini meskipun terdapat hospital dan klinik kesihatan baharu dibuka.

“Perlu tambah tenaga kerja kerana ia bukan setakat di kecemasan sahaja tetapi juga wad. Apabila dalam wad ada kekurangan pegawai perubatan memang jabatan kecemasan juga akan ada kekurangan.

“Kalau kita lihat buku bajet, perjawatan di bawah Kementerian Kesihatan lebih kurang 280,000 orang keseluruhan dan dalam lima ke 10 tahun ini memang tidak berubah, jumlah itu kekal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, meskipun berlaku pertambahan 10,000 kakitangan baharu di kementerian berkenaan tahun lalu di bawah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, jumlah berkenaan masih tidak mencukupi.

“Tahun lepas ada tambah sedikit lebih kurang 10,000 orang tetapi ini sudah berapa tahun? Lebih dari 10 tahun dan itu kekal macam ini.

“Padahal kita ada tambahan hospital baharu yang dibuka, ada klinik baharu dibuka tetapi tidak ada penambahan kakitangan, ini tidak munasabah,” katanya.

Menurut Boon Chye sebagai contoh, Hospital Rembau, Ne­geri Sembilan dan blok baharu Jabatan Kardiologi, Hospital Serdang, Selangor tidak mempunyai penambahan kakitangan meskipun baharu.

“Tiada penambahan, bajet tidak tambah, kakitangan tidak tambah tetapi bangunan fizikal sudah siap dan bagaimana hendak beri perkhidmatan apabila tiada penambahan kakitangan,” katanya.

Selain kekurangan kakitangan, Boon Chye turut memaklumkan kekurangan katil di wad kecemasan dan hospital juga merupakan penyumbang kepada kelewatan pesakit menerima rawatan.

“Tidak ketinggalan kurangnya kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang fungsi sebenar jabatan kecemasan juga menyebabkan unit berkenaan sentiasa sesak dan perkara ini perlu dititik beratkan” katanya.
Boon Chye turut berharap supaya Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa meminta kerajaan menambah jumlah kakitangan mengatasi kelewatan menunggu di hospital dan klinik kesihatan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya