BESUT: Anggota pasukan mencari dan menyelamat menemukan petunjuk baharu dalam misi mengesan seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Hutan Lipur Lata Tembakah, Hulu Besut di sini, Khamis lalu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Besut, Ramlan Ros Wahid berkata, pada operasi semalam, anggota yang menyertai operasi tersebut menemukan sehelai baju dan sarung golok dipercayai milik mangsa, Abdul Wahab Mat Sulaiman, 27, dari Kampung Durian Telor , Jerteh, dekat sini.
Menurutnya, anggota bomba telah melakukan selaman di lokasi penemuan petunjuk baharu itu untuk mencari mangsa yang dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ketika membaiki paip di tingkat lima air terjun hutan lipur terbabit pada pukul 4 petang.
Katanya, operasi tersebut juga melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kakitangan Jabatan Perhutanan.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang bermula pukul 5.30 petang, Khamis lalu masih aktif bagi mengesan mangsa yang belum ditemukan sehingga kini.
“Baju dan sarung golok itu dijumpai dalam tempoh sejam antara pukul 8.50 sehingga 9.50 pagi, Jumaat lalu di tingkat dua dan tiga air terjun di hutan lipur berkenaan.
“Dalam operasi hari ini, seramai 85 pegawai dan anggota termasuk orang kampung terlibat dengan pembahagian kepada tujuh pasukan,” katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.
Tambah Ramlan Ros lagi, operasi mencari dan menyelamat berdepan kesukaran kerana arus deras air terjun di kawasan tersebut yang masih deras, selain cuaca tidak menentu. – UTUSAN