KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Terengganu terus meningkat kepada 644 orang daripada 164 keluarga pada 10 pagi ini berbanding 545 orang daripada 136 keluarga pada petang semalam.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Rosman Abdullah berkata, ketika ini terdapat 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri itu.
Menurutnya, mangsa tertinggi kekal di daerah Kemaman yang menempatkan 305 orang mangsa di empat PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik (13 orang), Dewan Abdul Rahman Limbong (255 orang), SK Kampung Baru Kerteh (14 orang) dan Balai Raya Pasang Kemunting (23 orang).
“Dungun menjadi daerah terbaharu yang dilanda banjir apabila dua PPS dibuka di Dewan Sivik Seberang Pintasan dan Sekolah Kebangsaan Tok Kah.
“Di Setiu pula, sebuah lagi PPS baharu juga dibuka di Balai Raya Kampung Merang menempatkan empat sekeluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, daerah Kuala Nerus pula menempatkan 213 orang mangsa banjir di dua PPS iaitu SK Bukit Nanas (75 orang) dan SK Tok Jembal (138 orang).
Beliau berkata di Kuala Terengganu pula, jumlah mangsa ialah 80 orang di dua PPS iaitu di SK Atas Tol (73 orang) dan di SK Chendering (tujuh orang).
“Ketika ini, hujan renyai dan kadang-kadang lebat di sesetengah kawasan masih berterusan di seluruh Terengganu.
“Orang ramai terutama penduduk di pinggir sungai, laut dan kawasan rendah yang lain perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan serta mematuhi arahan pasukan penyelamat sekiranya banjir berlaku,” katanya. – UTUSAN