KUALA TERENGGANU : Banjir di kebanyakan kawasan di Terengganu semakin surut pagi ini dengan jumlah mangsa terus berkurangan kepada 25,895 orang daripada 6,844 keluarga berbanding 31,979 orang daripada 8,480 keluarga pada 4 petang semalam.
Sebanyak 40 pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup secara berperingkat sejak lewat petang semalam menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi hanya di 181 lokasi ketika ini berbanding 221 lokasi sebelum ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, trend pemulihan berlaku di seluruh Terengganu apabila jumlah mangsa berkurangan di semua lapan daerah negeri itu.
Menurutnya, banjir di Kemaman semakin baik dengan mangsa terus berkurangan kepada 5,439 orang daripada 1,390 di 16 PPS pagi ini berbanding 6,540 orang daripada 1,722 keluarga di 21 PPS petang semalam.
“Di Hulu Terengganu pula, mangsa yang masih berada di PPS ialah seramai 3,567 orang daripada 1,116 keluarga di 30 PPS berbanding 4,421 orang daripada 1,462 keluarga di 37 PPS sebelum ini.
“Di Kuala Nerus, mangsa ialah seramai 3,561 orang daripada 909 keluarga berbanding 3,763 orang daripada 954 keluarga, namun jumlah PPS masih sama di 17 lokasi sebelum ini.
“Jumlah mangsa juga semakin berkurangan di Kuala Terengganu iaitu seramai 2,503 orang daripada 658 keluarga berbanding 2,582 orang daripada 684 keluarga semalam. Jumlah PPS juga kekal di 13 lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Banjir di daerah Marang pula hampir pulih sepenuhnya dengan penurunan mangsa kepada 197 orang daripada 32 keluarga di tiga PPS pagi ini berbanding 323 orang daripada 65 keluarga di enam PPS semalam.
Katanya, di Dungun pula, mangsa mencatat sedikit penurunan kepada 5,201 orang daripada 1,396 keluarga di 32 PPS berbanding 6,020 orang daripada 1,576 keluarga di 38 PPS semalam.
“Daerah yang turut merekodkan penurunan mangsa ialah di Setiu iaitu 1,118 daripada 276 orang di 21 PPS berbanding 1,446 orang daripada 364 keluarga di 27 PPS sebelum ini.
“Besut yang mencatat sedikit kenaikan mangsa semalam juga terus menunjukkan tanda pemulihan dengan mangsa berkurangan kepada 4,309 orang daripada 1,067 keluarga di 49 PPS berbanding 6,884 orang daripada 1,722 keluarga di 62 PPS sebelum ini,” katanya.
Walaupun semakin banyak PPS ditutup pagi ini, namun penduduk Terengganu diingatkan agar terus berwaspada berikutan amaran gelombang banjir seterusnya yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia malam Rabu lalu. – UTUSAN