KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir di Terengganu kembali meningkat kepada 219 orang daripada 74 keluarga pada pukul 10 pagi ini berbanding hanya 23 orang daripada enam keluarga petang semalam.
Peningkatan mangsa banjir itu berikutan pembukaan lima lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah yang terjejas banjir iaitu Dungun, Kemaman dan Setiu pada awal pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ialah di enam lokasi ketika ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, mangsa tertinggi ialah di Setiu iaitu 117 orang daripada 46 keluarga yang berada di dua PPS daerah itu.
“Daripada jumlah itu, seramai 59 mangsa berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut dan 58 orang lagi berada di PPS Balai Raya Kampung Seladang.
“Di Kemaman pula, terdapat 78 mangsa daripada 22 keluarga dipindahkan ke dua PPS daerah itu iaitu SK Kemasik yang menempatkan 67 orang mangsa dan Balai Raya Kampung Batu 9 Ibok yang menempatkan 11 orang mangsa.
“Di daerah Dungun pula, satu PPS yang baru dibuka ialah di Masjid Kampung Jongok Batu untuk empat sekeluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, jumlah mangsa di daerah Kuala Terengganu pula ialah seramai 20 orang yang berada di PPS SK Atas Tol sejak Jumaat lalu.
Malam tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan (kategori bahaya) dijangka berlaku di seluruh negeri Terengganu sehingga Selasa depan.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mengeluarkan amaran banjir di lima daerah hari ini iaitu Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman.
Amaran itu dikeluarkan hasil model ramalan banjir disebabkan jangkaan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di lima daerah tersebut terutama di pinggir sungai dan kawasan rendah. – UTUSAN