KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir di Terengganu kekal tidak berubah dengan hanya 37 orang daripada 10 keluarga sahaja setakat pukul 10 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan kesemua mereka kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Atas Tol di sini sejak petang semalam.
“Cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu pada hari ini adalah mendung,” menurut kenyataan itu.
Namun, orang ramai perlu terus berwaspada berikutan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa luruan monsun dijangka memasuki rantau negara mulai esok berdasarkan berdasarkan analisis model-model cuaca.
Keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan timur Sabah dalam tempoh 17 hingga 21 Disember 2022.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandaraya Kuala Terengganu pula mendapati rutin harian penduduk berjalan seperti biasa terutama mereka yang terjejas dengan banjir baru-baru ini.
Kerja-kerja pembersihan pasca banjir di kebanyakan rumah mangsa juga hampir selesai dan tempat pembuangan sampah pula dipenuhi pelbagai barangan yang rosak akibat bencana itu. – UTUSAN