Jumlah mangsa banjir di Terengganu mulai berkurangan - Utusan Malaysia

Jumlah mangsa banjir di Terengganu mulai berkurangan

SEORANG penduduk melihat kawasan pekarangan rumahnya yang dinaiki air di Kampung Paloh, Manir, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Situasi banjir di Terengganu pada malam ini agak baik dengan jumlah mangsa  mulai berkurangan kepada 38,079 orang daripada 10,595 keluarga berbanding 39,108 orang daripada 10,735 keluarga pada 4 petang tadi.

Ia susulan penutupan 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan banjir yang telah surut bermula petang tadi menjadikan jumlah terkini PPS yang masih beroperasi ialah di 294 lokasi berbanding 315 lokasi sebelum ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata jumlah mangsa berkurangan di empat daerah iaitu di Kemaman, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu setelah beberapa kawasan mulai surut.

Bagaimanapun, katanya jumlah mangsa terus meningkat di empat lagi daerah iaitu Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang disebabkan limpahan air sungai pada lewat petang tadi.

Menurutnya, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 8,923 orang daripada 2,368 keluarga di 29 PPS malam ini.

“Jumlah itu berkurangan berbanding 10,042 orang daripada 2,597 keluarga setelah dua PPS daerah itu ditutup dan mangsa terjejas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang tadi.

“Situasi sama berlaku di Besut dengan mangsa berkurangan kepada 8,503 orang daripada 2,274 keluarga di 86 PPS berbanding 9,378 orang daripada 2,488 keluarga di 96 PPS sebelum ini.

“Di Hulu Terengganu pula, keadaan banjir malam ini tidak banyak berubah dengan mangsa hanya berkurangan sedikit kepada 6,230 orang daripada 2,065 keluarga di 52 PPS berbanding 6,652 orang daripada 2,133 keluarga di 60 PPS petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Daerah yang turut merekodkan penurunan mangsa malam ini ialah di Setiu iaitu 4,196 orang daripada 1,193 keluarga di 53 PPS berbanding 4,748 orang daripada 1,339 keluarga di 60 PPS petang tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata daerah Dungun pula mencatat sedikit peningkatan kepada 4,030 mangsa daripada 1,104 keluarga di 38 PPS berbanding 2,913 orang daripada 831 keluarga di 36 PPS sebelum ini.

Katanya, pertambahan mangsa banjir turut berlaku di daerah Kuala Terengganu iaitu seramai 2,541 orang daripada 680 keluarga di 12 PPS berbanding 2,252 orang daripada 594 keluarga di 11 PPS pada 4 petang tadi.

“Begitu juga di Kuala Nerus, mangsa meningkat kepada 1,915 orang daripada 470 keluarga berbanding 1,720 orang daripada 407 keluarga. Jumlah PPS bagaimanapun kekal sama di 12 lokasi ketika ini.

“Situasi sama juga berlaku di Marang yang merekodkan kenaikan kepada 1,741 orang daripada 441 keluarga berbanding 1,403 orang daripada 346 keluarga. Jumlah PPS juga masih kekal di 12 lokasi malam ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN