KUANTAN: Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan di negeri ini meningkat kepada 449 orang daripada 134 buah keluarga yang ditempatkan di empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah sehingga pukul 8 pagi ini.
Pada pukul 8 malam tadi, mangsa banjir yang ditempatkan cuma di tiga buah PPS di daerah Pekan, Temerloh dan Bera, iaitu seramai 444 orang daripada 128 buah keluarga.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dalam kenyataannya memaklumkan, jumlah mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara, Pekan meningkat kepada 68 orang daripada 16 keluarga berbanding 46 orang (10 buah keluarga) pukul 8 malam tadi.
“Di Temerloh, jumlah terkini mangsa yang terjejas masih berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan menurun kepada 346 orang daripada 103 keluarga berbanding 363 orang (108 keluarga) pukul 8 malam tadi,” katanya.
Di Bera, jumlah mangsa masih kekal sejak pukul 8 malam tadi, iaitu seramai 35 orang daripada 10 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Buntar yang dibuka sejak Jumaat lalu dan sembilan mangsa daripada tiga keluarga di PPS SK Kerayong.
Menurut kenyataan tersebut, tiga daerah iaitu Jerantut, Raub dan Lipis sudah menutup PPS kerana mangsa pulang ke rumah masing-masing bermula pukul 2 petang semalam.
Dalam perkembangan yang sama, hanya sebatang sungai di Lembangan Sungai Pahang berada di paras berbahaya, iaitu Sungai Triang, Bera ketinggian air 34.60 meter, manakala 11 sungai di Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Rompin di paras menurun.
Jelas APM, walaupun paras air sungai di bawah trend menurun, tetapi penduduk di pesisir Sungai Pahang dan anak sungai perlu berwaspada kerana cuaca tidak menentu, lebih-lebih lagi hujan turun di kebanyakan tempat bermula waktu pagi hingga ke malam. – UTUSAN